Tuesday, May 27, 2008

Piramid Agung Kufu


Piramid Agung Kufu merupakan satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia yang tertua dan yang terakhir masih tinggal. Piramid ini dipercayai dibina sebagai makam untuk Firaun Kufu (nama Greek: Cheops; tempoh pemerintahan: 2606-2583 SM) daripada Wangsa Mesir Keempat. Arkiteknya ialah Hemon, saudara Kufu. Piramid ini siap dibina pada sekitar tahun 2580 SM, setelah menelan masa 20 tahun.Piramid Agung Kufu merupakan piramid yang terbesar dan paling terkenal serta tertua antara tiga piramid (Piramid Kufu, Piramid Khafre dan Piramid Menkaure) di Bandar Kematian Giza, Mesir. Kawasan tersebut bersebelahan dengan bandar moden Kaherah, dan menjadi bahagian utama bagi kompleks bangunan-bangunan yang merangkumi laluan pejalan kaki yang istimewa, dua kuil, tiga piramid yang kecil (digelar piramid permaisuri), lubang-lubang untuk mengebumikan bot-bot serta mastaba-mastaba untuk bangsawan. Pada masa itu, juga terdapat sebuah bandar untuk pekerja-pekerja yang mengandungi antaranya perkuburan, kilang-kilang roti, kilang bir serta kompleks peleburan tembaga (Sumber dari Wikipedia)

Friday, May 23, 2008

Taj Mahal


Taj Mahal yang terletaknya di tebing Sungai Jumna, berhampiran Agra, India, merupakan makam yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan (1614-1666) sebagai monumen peringatan untuk Mumtaz Mahal, isterinya yang kelima. Mula dibina pada 1632 dan siap 1648.
Taj Mahal kekadang dipanggil 'Taj' sahaja adalah contoh terbaik Senibina Mughal yang menggabungkan senibina Parsi, Turki , India dan dan gaya senibina Islam. Arkitek utama bangunan ini ialah Ustaz Ahmad Lahauri . Taj Mahal merupakan sebuah kompleks bersepadu iaitu mempunyai bahagian makam, dewan, taman rekreasi , masjid, menara tinjau dan lain-lain. Tahun 1983 UNESCO mengisytiharkan Taj Mahal sebagai Tapak Warisan Sedunia yang perlu dilindungi . Bangunan ini dikatakan 'permata senibina Islam'. (Sumber dari Wikipedia)

Taman Tergantung Babylon

Taman Tergantung Babylon (juga dikenali sebagai Taman Tergantung Semiramis) dan tembok-tembok Babylon (kini Iraq) telah dipertimbangkan untuk menjadi salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia. Kedua-duanya telah dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II (604-562 BC), cucu kepada Raja Hammurabi yang terkenal, sekitar tahun 600 SM . Taman tergantung Babylon terletak sekitar 50 kilometer selatan Baghdad, Iraq di sebelah tebing timur Sungai Euphrates.
Menurut sesetengah punca, taman tersebut dibina untuk menggembirakan isteri Nebuchadnezzar, Amyitis yang rindukan kampong halaman. Amyitis, anak kepada Raja dari kerajaan Medes, telah berkahwin dengan Nebuchadnezzar untuk menjalinkan hubungan kerjasama di antara dua negara. Negara dari mana dia datang adalah sebuah kawasan yang subur menghijau dan berbukit-bukau tetapi malangnya dia terpaksa berpindah ke kawasan yang rata dan tandus berbatu di Mesopotamia (sebuah kawasan di barat daya Asia) yang menyebabkan dia bersedih. Maka, raja memutuskan untuk membina keadaan seperti kampong halamannya di sebuah bukit tiruan yang berbumbungkan kebun-kebun dan taman. (Sumber dari Wikipedia)

Sunday, May 18, 2008

Tembok Besar China


Tembok Besar China merupakan kubu China silam yang dibina sekitar 200 SM dan diperkukuh antara akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17, semasa Dinasti Ming, untuk melindungi China daripada serangan puak Mongol dan puak Turkic. Ia didahului oleh beberapa tembok dibina semenjak abad ke-3 SM terhadap perompak puak-puak nomad yang datang dari kawasan yang dikenali hari ini sebagai Mongolia dan Manchuria.
Panjang tembok ini ialah 6,352 km, daripada Shanhai Pass sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang. (Sumber dari Wikipedia)